"KOLEKSI MEDANKARYA Matnor
Nukilan aku kali ini... bacalah..
TERTUNAS SATU PERSAHABATAN (Bhg 1)
Aku telah lama mengenali Dr Anisah. Begitu juga rakan-rakan sepejabat aku yang lain. Amir, Hashim, Reza, Makcik Kamisah, Akak Soraya, Wong Meng, Chandra semuanya kenal dengan Dr Anisah. Semua kami bertugas dalam satu makmal yang sama di Pusat Penetasan Dan Penternakan Itik, Jabatan Haiwan, Daerah Kuala Selangor. Berbanding dengan aku, tentunya kawan-kawan ku jauh lebih lama mengenali Dr Anisah kerana mereka lebih senior daripada aku. Kalau dipandang dari segi jawatan Dr Anisah lah yang berpangkat paling tinggi sekali di antara kami semua terutama aku yang hanya berjawatan sebagai juruteknik makmal sahaja. Dr Anisah adalah gadis siswazah lepasan Fakulti Sains Vertariner, di salah sebuah universiti tempatan dan berkhidmat di jabatan ini sejak 3tahun yang lalu.
Bagi pandangan semua rakan-rakan ku, Dr Anisah terlalu serius orangnya samada semasa menjalankan tugas ataupun ketika berada di luar pejabat. Amatlah terlalu sukar melihat Dr Anisah bermesra, bergurau senda dengan kami. Kalau berselisih dengan Dr Anisah, dia hanya melirikkan satu senyuman dan jarang amat mahu bertegur sapa. Sikap nya yang sebegitu menyebabkan ramai di antara staff bawahannya merasakan Dr Anisah sukar didampingi. Tidak kurang juga yang menuduh yang dia sengaja tidak mahu bersama kami kerana merasakan kami ini tidak setaraf dengannya. Kawan-kawan ku yang salah sangka pada Dr Anisah sering menjauhi diri daripadanya dan mereka akan mengelak diri jika berpeluang berdekatan dengan Dr Anisah. Mereka hanya akan berhubung dengan Dr Anisah jika ada hal-hal yang berkaitan dengan tugas sahaja seperti apabila berlaku masalah atau perkara yang berhubung kait dengan penyakit itik. Itu sahaja.
Suatu hari tanpa di duga aku dapat sekali berbicara dengan Dr Anisah apabila sebuah mesin penetasan itik menghadapi masalah. Dari percakapan yang pendek dan ringkas dapatlah aku ketahui loghat percakapannya ada mirip percakapan aku. Loghat Kedah. Apabila aku tanyakan pada Dr Anisah memang nyata dia mengaku di berasal dari sebuah daerah di negeri Kedah. Secara kebetulan aku juga dari negeri yang sama maka dapatlah kami bertukar-tukar cerita untuk seketika. Perbualan kami hari itu hanya pendek dan ringkas sahaja. Selepas dari pertemuan itu kami tidak berbual lagi. Dr Anisah macam hari-hari sebelumnya. Serius dan jarang bertegur sapa melainkan jika ada keperluan sahaja.
Setiap hari aku hanya memandang dia dari jauh sahaja. Dia sebok dengan tugasnya sebagai seorang doctor penyelidik yang cukup mengambil berat tentang kesihatan dan masalah anak-anak itik yang baru menetas sebelum dieksport keluar. Setiap hari sebelum jam 8.00 pagi Dr Anisah sudah sampai ke pejabat dengan kereta Proton Preve miliknya yang berwarna kelabu kehitaman warna kesukaannya. Seperti biasa dia akan memakai uniform putih seorang doctor dan selepas meletakkan keretanya dia akan masuk pejabat buat seketika. Sekitar 15 minit kemudian dia akan keluar melawat ladang dan seterusnya akan sebok dengan tugasnya hingga ke petang. Selepas jam lima Dr Anisah akan memandu keretanya pulang ke rumah. Begitulah rutin hidupnya seharian di sini. Kesebokan kerjanya menyebabkan dia tidak ada ruang waktu untuk bersama kami, berbual dan bertukar-tukar cerita.
Kerenah yang sebegitulah yang menyebabkan kawan-kawan ku tersalah anggap pada Dr Anisah. Bagiku, aku amat yakin Dr Anisah bukan begitu sikapnya. Kami dari negeri yang sama maka aku yakin dia amat baik orangnya. Aku percaya Dr Anisah seorang gadis yang murah hati, bijak, peramah dan mahu bersahabat jika kena jalan dan aturannya. Keyakinan aku akan sikap Dr Anisah sedemikian rupa itu tidak pernah luntur walau pun aku masih belum lagi dapat berbual dan beramah mesra dengannya. Tapi hati kecil ku selalu berkata Dr Anisah memang seorang yang berhati mulia dan aku berazam satu hari nanti aku pasti akan menjadi seorang sahabatnya. Aku mahu bersahabat dengan Dr Anisah. Dia dua tahun lebih tua dari ku dan aku bersedia kalau dia mahu menjadikan aku sebagai teman berbual yang dipercayainya. Itu saja bisik hatiku. Aku mahu buktikan pada kawan-kawan ku bahawa Dr Anisah bukanlah seperti yang mereka sangkakan. Aku mahu tunjukkan kepada kawan-kawan ku yang Dr Anisah seorang yang boleh dijadikan sahabat dan seorang yang periang. Aku tahu Dr Anisah mempunyai pengalaman dan kemahiran yang tinggi dalam semua bidang berkaitan dengan sikap serta penyakit haiwan. Sekurang-kurangnya apabila aku bersahabat dengannya aku dapat juga menimba sedikit sebanyak ilmu haiwan yang dia miliki. Aku tidak bernasib baik sepertinya hingga berjaya ke menara gading jadi aku harap bila aku telah bersahabat dengannya dapatlah dia mengajar dan menurunkan sedikit sebanyak ilmunya kepada ku. Itulah harapan ku kepada Dr Anisah.
Suatu hari aku telah diarahkan oleh Ketua Jabatan ku untuk membantu Dr Anisah dalam menangani satu penyakit yang telah menyerang anak-anak itik dengan tiba-tiba. Penyakit itu agak kronik dan terlalu cepat merebak. Jangkitan kumannya mudah dibawa oleh angin sehingga hampir keseluruhan kawasan penetasan itik telah dijangkiti penyakit itu. Outbreak yang berlaku itu menyebabkan Dr Anisah tertekan kerjanya dan habis seluruh masanya digunakan untuk mengkaji punca dan kaedah melawan penyakit itu. Kehadiran aku membantu Dr Anisah sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanannya. Bantuan yang aku berikan tidak seberapa kerana sebahagian besarnya hanyalah menjalankan setiap arahan darinya sahaja. Kalau dia menyuntik anak-anak itik maka aku yang akan memegang dan menangkap anak itik tersebut. Kalau dia mahu menghasilkan vaksin baru maka aku akan menjadi tukang membancuh ubat mengikut formula yang diberikan oleh Dr Anisah. Di waktu itu aku sentiasa sahaja mengekori Dr Anisah kemana sahaja dia pergi. Selama seminggu aku bersamanya aku dapat perhatikan Dr Anisah seorang gadis yang cekal dan bertanggung jawab terhadap tugasnya. Dia begitu bersungguh-sungguh menjalankan tugas dan mencari ikhtiar untuk menyelesaikan masalah penyakit itik yang dihadapi kini. Ku lihat beberapa buah buku rujukan sentiasa saja berada di depannya sebagai tempat dia mendapatkan sumber ilmu demi menyelesaikan masalah besar sekarang.
Kesungguhan Dr Anisah untuk menyelesaikan masalah penyakit yang dihadapi oleh anak-anak itik menyebabkan dia tidak begitu menghiraukan dirinya. Dia tidak berehat di waktu rehat dan waktu tengahari dia tidak makan tengahari. Dia asyik bekerja. Ada juga sesekali aku mengajak dia keluar bersama ku makan tengahari tetapi dia menolak. Kadang kala aku beli juga makanan ringan untuknya seperti goreng pisang, karipap atau keropok dari gerai Makcik Bedah yang berniaga di bahagian luar pagar pejabat kami. Dari apa yang Dr Anisah nyatakan pada aku maka dapatlah aku ketahui Dr Anisah memang suka makanan itu terutamanya keropok leko yang menjadi satu makanan kegemarannya. Biasalah. Orang kita memang terlalu menggemari keropok leko.
Suatu pagi hari Khamis, Dr Anisah datang ke pejabat seperti biasa dengan kereta proton wira merah kesayangannya. Seperti hari-hari sebelumnya dia tetap berpakaian uniform putih seorang doctor. Dia berseluar hitam yang bahagian hujung kakinya dikecilkan sedikit. Tudung warna biru tua yang dikenakan di untuk menutup rambutnya menampakan keayuan gadis 26 tahun itu. Pakaiannya yang diseterika rapi menjadikan dia lebih kemas dan nampak cantik sekali. Tubuhnya yang sedikit berisi dengan kulit kuning langsat berketinggian 5 kaki sahaja menjadikan wajahnya kelihatan lebih muda dari usianya. Aku yang juga baru sampai ke pejabat dengan hanya menonggang sebuah motorsikal mengekorinya dari belakang tidak berapa jauh darinya. Akhirnya kami bertemu di mesin punch card. Dr Anisah mengambil kad kehadirannya yang berwarna putih kekuningan itu dan terus mem’punch’kan kadnya. Aku juga mengambil kad kehadiran aku lantas berdiri tidak jauh dari belakang Dr Anisah. Aku menunggu giliranku selepas Dr Anisah. Selepas dia meletakkan kembali kadnya ke tempat asalnya dia terus menoleh memandang aku yang sedang memasukkan kad aku ke dalam mesin punch card. Dia melirikkan senyuman pada ku. Cukup manis senyumannya. Aku membalas senyumannya sambil mengucapkan salam. “Assalamualaikum Dr. Anisah”., sapa ku dengan selamba. “Wa’alaikumsalam Kamal”, balasnya lembut. “Awak sampai awal pagi ini.. Kamal”, sapanya sambil matanya tepat memandang pada bungkusan nasi lemak yang aku beli di gerai Makcik Bedah ketika datang ke pejabat tadi. “Tak kan sebungkus saja nasi lemak yang Kamal beli.. untuk saya tak ada ke?, usik Dr Anisah pada ku setelah dia pasti cuma satu bungkus saja nasi lemak yang aku beli. Sememangnya setiap pagi begitulah juga aku hanya membeli sebungkus saja untuk diriku. Kalau bukan nasi lemak aku beli bihun atau mee goring, atau pun roti canai. Perasaan hati aku pagi itu amat gembira sekali kerana Dr Anisah sudah mahu bertegur sapa serta bergurau dengan aku. Mungkin setelah dua minggu bekerja di bawahnya dia sudah dapat mengenali aku yang sememangnya terkenal suka bergurau dan sedikit kelakar dikalangan kawan sekerja aku.
Selepas selesai makan nasi lemak bersama teh tarik yang aku beli lantas aku terus mendapatkan Dr Anisah untuk membantu kerja-kerjanya pada hari itu. Hari itu kami mencuba satu vaksin yang lebih baik yang baru saja Dr Anisah dapatkan bekalannya dari ibu pejabat di Kuala Lumpur. Ketika bersamanya aku dapat rasakan Dr Anisah tidak begitu ceria dan dia kelihatan keletihan serta tidak bermaya. Perasaan hati ku ingin bertanya tetapi aku tidak berani. Sesekali dia hanya menyuruh aku menyudahkan kerjanya dan dia sekadar berdiri menyandar di satu tiang yang tidak jauh dari tempat kami bekerja. Ku lihat dia cukup letih. Aku pasti dia tidak sihat. Tiba-tiba sedang aku begitu khusyuk dan tekun membelek seekor demi seekor anak-anak itik yang berpenyakit itu aku terdengar suara aku di panggil. “Kamal.. Kamalll... Kamallll.. tolong saya Kamal…” aku menoleh ke arah Dr Anisah. Aku lihat Dr Anisah terhoyong hayang berjalan menuju ke arah aku. Suaranya terus memanggil aku, “Kamal.. Kamal.. cepat tolong saya…”, laungnya sambil tangan kanannya menggamit aku supaya datang kepadanya dengan segera manakala tangan kirinya memegang kepalanya yang ditutupi kain tudung berwarna biru itu. Melihatkan keadaan Dr Anisah sedemikian rupa aku terus saja melepaskan anak-anak itik dari genggaman ku lantas berlari mendapatkan Dr Anisah. Sebelum sempat aku bertanya kenapa dia jadi begitu, Dr Anisah terus lemah terkulai dan terus jatuh ke tanah. Alhamdulillah tidak sempat Dr Anisah tumbang menyembah bumi aku sempat menyambutnya dari belakang dan terus memapahnya mendapatkan sebuah kerusi. Mulut ku juga terus tidak berdiam diri lantas memekik memanggil rakan-rakan ku supaya datang membantu.
Suasana menjadi kelam kabut. Seketika saja tempat itu sudah dipenuhi oleh rakan-rakan kami yang datang untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya. Tidak lama keadaan itu berlalu. Dr Anisah terus dihantar ke sebuah hospital dan aku ikut bersamanya dengan tujuan membantunya ketika di sana.
Oleh kerana hospital kerajaan perkhidmatannya agak perlahan kerana terlalu ramai pesakit maka aku sehari suntuk berada di sana menemani Dr Anisah sehingga selesai semua rawatan. Akulah yang membantunya membuat pendaftaran di kaunter pendaftaran. Kemudian membawanya ke makmal darah untuk pemeriksaan darahnya. Seterusnya terpaksa beratur selama satu jam untuk mendapatkan ubat bagi Dr Anisah. Apabila Dr Anisah berasa lapar maka aku ke kantin pula untuk membeli minuman dan sedikit kuih muih untuknya mengisi perut yang kemudiannya kami makan bersama-sama. Dia cuba memberi duit pada ku supaya membeli makanan dengan duitnya tapi aku menolak. “Tak apa Dr Anisah… hari ini saya belanja…” kataku menolak pemberiannya dengan lembut. Setelah semua rawatan ke atasnya sudah selesai aku pun pergi mendapatkan pemandu van jabatan kami yang sedang menunggu di tempat letak kereta. Dr Anisah sudah kelihatan sihat dan boleh berjalan sendirian. Lewat jam 2.55 petang kami pun pulang. Dr Anisah terus kami hantar ke rumahnya kerana dia perlu berehat dan telah pun diberikan cuti sakit selama 3 hari. Sebelum kami meninggalkan rumah untuk bertolak semula ke pejabat Dr Anisah memanggil aku. “Kamal.. tunggu kejap..” Aku berhenti dan kembali mendapatkan Dr Anisah semula. “Ada apa hal Dr Anisah?” tanyaku minta kepastian. “Begini Kamal.. kereta saya masih tertinggal di pejabat… sekiranya tidak menyusahkan Kamal boleh tak saya minta tolong Kamal hantarkan kereta saya balik ke sini petang nanti.” Minta Dr Anisah bersungguh-sungguh sambil menghulurkan anak kunci keretanya padaku. “Tak mengapa Dr Anisah.. nanti saya akan hantar kereta Dr Anisah dengan Pak Mat derebar”, jelasku lebih lanjut ketika kunci keretanya ku ambil.
Petang itu selepas waktu pejabat aku dan Pak Mat derebar menghantar kereta Dr Anisah ke rumahnya. Pak Mat derebar memandu kereta Dr Anisah sedangkan aku menonggang motorsikal mengekorinya dari belakang. Sebenarnya aku tidak tahu memandu kereta dan tidak ada lesennya jadi aku minta Pak Mat tolong pandukan kereta Dr Anisah. Aku membawa motorsikal supaya dapat mengambil Pak Mat derebar kembali semula ke pejabat selepas memulangkan kereta Dr Anisah.
Kami sampai serentak di rumah Dr Anisah dan memulangkan keretanya berserta anak kuncinya. Oleh kerana hari sudah lewat senja aku dan Pak Mat derebar tidak masuk ke dalam rumah Dr Anisah walaupun telah diajak berkali-kali oleh Dr Anisah dan kakak serta abang iparnya. Aku hanya berjabat salam dengan abang ipar Dr Anisah dan langsung kembali menghantar Pak Mat derebar pulang ke pejabat mengambil motorsikalnya pula.
Semenjak peristiwa hari itu aku dan Dr Anisah sudah agak mesra dan sering bertegur sapa ketika berjumpa tidak kira di mana. Kalau aku tidak ada urusan bersamanya namun dia tetap mendapatkan aku dan mengajak aku pergi minum pagi bersamanya di kantin. Semuanya ini bermula pada hari pertama dia bekerja selepas cuti sakit 3 hari di mana pada hari itu pagi-pagi lagi dia terus datang mencari aku dan mengucapkan terima kasih pada aku yang telah membantunya. Bagi aku itu adalah perkara kecil dan memang tanggung jawab untuk membantu sesama insan.
Pada suatu pagi Dr Anisah datang mendapatkan aku dan berjanji mengajak aku makan tengahari bersamanya di sebuah restoran yang tidak jauh dari pejabat kami. Aku tidak menolak pelawaannya. Seperti dijanjikan, tepat jam 1.00 tengahari Dr Anisah sudah datang kepada ku. Dari jauh dia sudah memanggil ku, “Kamal… jom kita pergi makan special hari ini.. jangan risau I belanja.. youuu..” jeritnya kepada ku dari jauh sambil wajahnya penuh senyuman. Kelihatan pada ku jari telunjuknya yang halus itu di sarungkan dengan key chain anak kunci keretanya sambil diputar-putarkan berkali-kali. Dia sungguh ceria pada hari itu. Lincah dan manis. Wajahnya tidak terlepas dari memberikan senyuman hingga menampakan giginya yang putih tersusun rapat. Sebaik saja memandang wajahnya yang ceria, manis dan mesra membuatkan hatiku merasa teramat gembira. Hati ku mula berkata Dr Anisah ini memang baik orangnya. Mungkin orang belum mengenali hati dan budinya.... dot.. dot.. dot..
ha.. ha.. bertambah suspen ya.. apakah kesudahan hubungan Kamal dengan Dr Anisah?
Tunggu sambungannya bila aku update nanti.. aku akan mengarang sambungannya nanti..
Bersambung part 2.
Nota:
"Hakmilik cerita ini idea asal Matnor"
Dilarang Plagiat atau ciplak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment