Monday, April 4, 2011

Pemergianmu Nostalgia Ku

Di saat ku dihimpit keresahan mengingatkan aku kepadamu. Kesunyian yang melanda diri ini menjadikan kenangan lalu sebagai taman ingatan yang bertaburan kuntuman bunga kemboja. Tahun 1995 memisahkan segalanya antara aku dan dia dalam suatu tragedy yang memilukan. Kau kembali kepadaNya tanpa meninggalkan pesanan. Mengimbas kenangan lalu masih segar dalam ingatan ku betapa aku cukup bertuah dapat mendampingi mu. Tapi kita tidak berupaya. Kita hanya merancang Allah yang menentukan segalanya.




Aku dan Munirah (aku panggil Mira saja) menuntut di sebuah universiti yang sama cuma kami menuntut di fakulti yang berlainan. Aku di Fakulti Kejuruteraan sedangkan dia di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Sebenarnya aku dan dia tidak mengenali antara satu sama lain cuma sekali sekala sahaja bilamana secara kebetulan pada suatu hari kami terserempak di kantin untuk makan tengahari di kafetaria universiti. Itulah pertama kali aku melihatnya apabila pada suatu hari dia dan aku berbaris untuk membayar makanan pada kakak cashier kantin tersebut. Entah dimana silapnya, telah berlaku pelanggaran kecil di antara dia dan aku menyebabkan gelas air sirap yang dipegangnya telah tertumpah di atas aku menyebabkan tumpahan itu telah membasahi semua buku-buku ku. Bukan main kesalnya dia hingga berkali-kali memohon maaf kepada ku , "Maafkan saya... maafkan saya.. maafkan saya". Begitulah reaksinya meminta maaf berulang-ulang kali, sedangkan bagi ku tidak merasa apa-apa pun kerana ianya bukanlah disengajakan. Lagi pun ini hanya satu perlanggaran kecil sahaja. Insiden itu berlalu pergi dan berakhir di situ saja. Namun kami tetap tidak mengenali satu sama lain. Saban waktu kami sering terserempak jua. Ada ketikanya di cafeteria kerana membeli makanan atau pun di library ketika kami masuk untuk study atau meminjam buku atau ada kalanya kami terserempak di court tennis. Ada juga beberapa kali kami terserempak secara kebetulan di kedai buku kolej dan pernah juga di stesen bas Kajang ketika menunggu bas bersama untuk pulang ke asrama kolej. Pertemuan sekadar berelisih sahaja menyebabkan aku tidak mengenali namanya dan dia tidak mengenali nama ku. Kami tidak pernah bertegur sapa. Hanya yang kami lakukan adalah sekadar mengukir senyum dan membalas senyuman. Itu saja. Hati ku memang tergerak juga untuk menegurnya tetapi mulut ku kelu, tidak berani berbicara. Setiap kali apabila aku berselisih dengannya di library pun begitu. Aku tidak berani membuka mulut untuk memulakan bicara. Senyum. Mengukir senyuman untuknya. Membalas senyuman yang dia ukirkan untuk ku. Itu saja. Sehinggalah pada suatu hari dia dan aku ditakdirkan duduk di meja yang sama. Ketika itulah kami mula berbicara dan aku tahu namanya Munirah yang kemudian aku panggil Mira saja dan dia memanggilku Am. Dari perkenalan pertama itu menjadikan aku dan Mira agak ramah sedikit dan bilamana tiba waktu makan pagi, tengahari atau makan malam kami acapkali duduk makan bersama. Kami tidak pernah perjanji tetapi setiap hari jam 1:30 tengahari aku akan ke kantin dan Mira pasti ada di sana seakan-akan menungguku. Begitu juga dengan sarapan pagi dan makan malam. Kami pasti dapat makan bersama-sama. Walaupun kami tidak pernah berjanji waktu bertemu antara satu sama lai tatapi seakan-akan kami sudah serasi dan dapat bertemu jua di saat sarapan pagi, makan tengahari ataupun makan malam. Lain-lain pertemuan tidak ada dan kami sekadar kenal-kenal cina kata pepatah melayu.

Tahun 1991 kami terlibat dalam projek bakti dan kami sama-sama menjadi penggerak utama projek. Ketika itu kami sering bertemu dan berbincang perjalanan projek. Dalam masa yang sama dia sebok untuk menyiapkan puisi-puisi bagi assignment kursusnya. Aku pula yang secara semula jadinya minat kepada puisi memberi pandangan dan pendapat terhadap puisi-puisi yang ditulisnya. Dia cukup memerlukan seseorang yang dapat membantunya dalam memberi pandangan dan pendapat maka dia pintaku agar membantunya. Pertemuan yang acapkali kami adakan di library menjadikan kami lebih akrab dan mengenali hati budi masing-masing. Kadang-kadang dia panggilku untuk melihat dia membaca puisi-puisinya dengan gayanya yang tersendiri.

Persahabatan kami berlanjutan hingga 3 tahun. Kami bersahabat seperti biasa walaupun kawan-kawan mengatakan kami sudah intim dan sedang di lamun cinta. Aku dan Mira tidak mengia dan tidak menafikan. Oleh kerana aku tidak mahu dia disalah anggap aku berterus terang bertanyakan pada Mira apakah akhir persahabatan kami ini? Jawaban yang Mira berikan cukup meyakinkan aku. Katanya, “Pada Mira kita bersahabat cukup baik…. Persahabatan tidak salah jika kita ikhlas dan jujur.. jadi eloklah kita bersahabat dulu.. Mira tak mahu terburu-buru.. kita uji dulu hati kita sejauh mana kita dapat seia sekata..”. jawapan Mira cukup memuaskan aku kerana aku tidak mahu jika suatu hari aku memilih orang lain sebagai teman hidupku, Mira akan kecewa pula. Bila aku sampaikan pendirian Mira kepada rakan-rakan ku mereka tidak percaya. Dalam masa yang sama mereka cuba mendampingi Mira. Berbagai kaedah mereka gunakan. Menulis surat mahu berkenalan. Face to face ajak dating. Hantar bunga. Kirim salam. Minta rekomen kawan. Peliknya semua dilayan dengan baik oleh Mira cuma minta mesti jujur… jangan lebih-lebih.. amarannya. Akhirnya kawan-kawan ku menggelarkan Mira “anggerek berduri”.

Memang aku akui Mira menjadi idaman bukan saja member-member aku malah student dari fakulti lain juga. Wajahnya manis dan sentiasa periang. Sentiasa berbaju kurung. Tuturkatanya lembut dan sentiasa diucapkan satu satu. Suaranya halus tapi perlahan. Orangnya ramping sederhana lebih kurang sama tingginya dengan aku 5 kaki 4 inci. Kulitnya halus warna kuning langsat. Di awal aku mengenalinya dia tidak bertudung penuh seperti sekarang. Enam bulan kemudian dia memakai tudung penuh menutup aurat rambutnya. Di awal perkenalan aku dengannya, aku pernah melihat rambutnya yang hitam dan lurus mayang mengurai itu. Pun begitu di bahagian hujung rambutnya kelihatan seolah-olah beralun dan berombak di hujungnya mencecah hingga ke bahu. Pipinya licin dan sedikit kemerahan. Anggun pribadinya berwajah keibuan dan jika Mira senyum, tersungging sebuah senyman yang tidak jemu aku melihatnya, kerana memaparkan giginya yang putih dan tersusun rapi di bibirnya. Yang paling aku suka lihat ialah gaya ketika Mira ketawa. Sukar sungguh melihat dia ketawa besar kerana setiap kali ketawa dia, akan cepat-cepat meletakkan tangan menutup mulut apabila ketawa. Sebelum Mira bersahabat dengan ku malah semasa dia menjalinkan persahabatan dengan ku bukanlah sedikit jejaka-jejaka menara gading yang ingin mendekatinya tetapi apabila Mira meminta mereka hanya bersahabat saja dahulu, tidak lebih dari itu, maka ramailah jejaka menara gading yang menarik diri dari terus bersama Mira. Ada juga yang sanggup tetapi malangnya hanya sekadar beberapa ketika saja kerana mereka tidak puas hati disebabkan Mira amat jujur dan menjaga tatasusilanya sebagai seorang gadis remaja yang berakhlak. Akhirnya mereka, jejaka menara gading yang mendekatinya itu lantas meninggalkan Mira. Maka berbagai-bagailah cereta direka dengan berhelah dengan berbagai-bagai tuduhan… Kononnya mereka membuat tuduhan, “awek tu tak ada feelinglah..”, “she’s very slow lah", She's no response lah” dan bermacam-macam lagi cereta direka untuk menggambarkan Mira seorang yang tidak sesuai dibuat teman.

Akhirnya dalam diam tak diam persahabatan kami sudah masuk 4 tahun lamanya jalinan persahabatan ini antara aku dengan Mira. Kami sama-sama di tahun akhir dan ketika berada di tahun akhir itu kami kerap berpisah. Aku banyak terlibat dalam projek-projek tahun akhir dan selalu tidak dapat bersamanya. Ketika itulah dia merasa kesunyian. Hinggalah pada suatu hari selepas kami balik dari library yang ditutup pada jam 11.00 malam, dia mangajak aku pergi berbual di satu tempat. Malam itu sungguh indah. Bulan cerah mengambang dilangit menjadikan persekitaran terang benderang kerana dilimpahi cahaya sang rambulan. Kami pergi pergi melepak di tengah-tengah padang bolasepak universiti. Keadaan tidak gelap kerana lampu-lampu yang dipasang di pinggir jalan masih mampu memancarkan cahayanya sampai ke tempat kami bersantai. Dari jauh masih kelihatan samar-samar dalam kecerahan cahaya sang rambulan yang menyinari dedaunan pokok-pokok disekitar padang itu dan sesekali bergoyang-goyang ditiup angin. Cukup lama kami berbual. Soal pelajaran. Hal latihan dan projek. JUga akhirnya menyentuh kisah silam kami semasa di zaman kanak-kanak dan alam persekolahan. Dia menceritakan kisahnya dan aku ceritakan kisah ku. Akhirnya hinggalah menyentuh kepada status perhubungan persahabatan kami berdua sekarang ini. Dia bertanya pada ku, apakah pendapat dan penilaian aku tentang dirinya? Aku katakan padanya aku suka sifatnya, perangainya dan kejujurannya. Itu saja jawapan ku. Walaupun hati kecil ku mengharapkan dia menyintaiku namun aku telankan “ungkapan cinta” dari terkeluar dari mulutku. Kemudian Mira menjauhkan kedudukannya agak dua hasta dari sisiku. Dengan jarak lebih kurang dua hasta itu dia memusingkan kedudukannya ke kiri, kini dia memberikan belakangnya kepada aku. Pandangan matanya menghala jauh ke depan. Dan dengan perlahan Mira melafazkan kata-kata yang menyentakkan perasaan aku. ”Am...jika Mira katakan sesuatu.. Am… boleh jawab tak?” Mulanya aku sangkakan Mira mahu bertanya teka teki lalu aku menjawab pantas. “Tengoklah dulu.. kalau susah soalan Mira… sorry lah Am nak jawab.? Mira senyap seketika kemudian menyambung kata-kata, “Am.. setelah empat tahun kita berkawan dan bersahabat seperti biasa barulah malam ini Mira nak soal Am satu soalan. Am habiskan ayat yang Mira nak lafazkan ini.” Lalu seterusnya dia menyambung, “Am.. andai kata Tuhan mentaqdirkan kita hidup bersama sebagai suami isteri, apakah Am akan menerima kenyataan ini?” cukup jelas ayat yang dilafazkan oleh Mira dan aku teramat faham maksudnya seratus peratus. Aku tergamam, terkedu seketika hinggakan aku tidak mampu berkata-kata. “Mengapa Am tak jawab? Soalnya padaku setelah begitu lama aku membisu. “Mira, dengar ni, Am ingin katakan, bukan hanya setakat Am terima kenyataan itu jika ia benar-benar menjadi kenyataan… malah sejak dahulu lagi, di awal persahabatan kita, Am sememangnya mengharapkan agar kita hidup bersama” Balasku seakan-akan aku melafazkan dialog cinta dalam filem yang aku sendiri menjadi heronya.

Bermula dari peristiwa malam itu kami telah merancang untuk bertunang sahaja dulu sebaik selepas tamat pengajian nanti. Kami telah berjanji untuk membantu keluarga masing-masing terlebih dahulu setelah tamat pengajian. Selepas membantu keluarga masing-masing barulah kami bercadang mengikat tali pertunangan yang pastinya berakhir dengan perkahwinan. Kami buktikan janji kami di mana selepas tamat pengajian dan membantu keluarga, kami terus sahaja mengikatkan tali pertunangan dengan disaksikan oleh teman-teman kami semasa di kampus dulu. Teman-teman kami cukup gembira dan ucapkan tahniah pada ku dan pada Mira. Rakan-rakan memberi ucapan tahniah kepada ku kerana akhirnya dapat juga memetik “anggerik berduri” yang paling liat.

Kita cuma merancang tapi Tuhan menentukan segalanya. Di saat kami telah bersedia untuk membina rumah tangga bagi tujuan hidup bersama tiba-tiba Mira dijemput kembali padaNya. Mira terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika pulang untuk berhari-raya bersama keluarganya pada tahun 1995. Keretanya dilanggar oleh sebuah bas ekspres yang terbabas dari laluan. Kecederaan yang Mira hadapi amat parah. Sembilan hari Mira terlantar di wad icu dan sembilan hari juga aku sentiasa berada disampingnya. Tidak ada lagi suasana hari raya padaku pada tahun itu. Aku hanya menunggu Mira dan dia terus tidak sedarkan diri. Akhirnya hari ke 9 aku menunggunya dia sedar sekejap dan doctor membenarkan kami terus bersamanya. Itulah hari terakhir aku berbicara sedikit dan putus-putus dengannya. Dan tidak ada yang lebih memilukan hati ku kerana 5 tahun 7 bulan aku bersahabat hingga menjadi tunangnya hanya pada saat akhir sebelum kematiannya itulah pertama dan terakhir Mira memanggil ku dengan panggilan “Abang” sedangkan selalunya Mira memanggil ku “Am” saja. Sedarlah aku bahawa Mira telah bertekad dalam hatinya akan mula memanggilkan aku “Abang” setelah kami diijabkabulkan.

“Abang, maafkan Mira kerana tidak dapat tunaikan janji….”

Inilah ungkapan terakhir darinya yang menjadi nostalgia bagiku. Pemergian Mira membawa bersama perasaan kasih ku kepadanya. Memahami betapa mendalamnya persahabatan erat, kasih sayang antara aku dan Mira membuatkan hingga kini ibuku tidak pernah menyuruh aku mencari pengganti Mira. Ibuku hanya berkata dia boleh memaksa adik-adik ku berkahwin tapi dia tidak sanggup menyuruh aku. Segalanya terserah pada ku

Bagi ku biarlah taqdir yang menentukan. Tetapi hati ini masih terbayang kan Mira yang telah 6 tahun meninggalkan aku.

MIRA…. Pemergian Mu Nostalgia bagi ku..

Al-fatihah.

nukilan matnorlah....

No comments:

Post a Comment